1,762 pusat jagaan kanak-kanak di Sarawak terima manfaat Geran Tahunan Khas

KUCHING: Sebanyak 56 peratus Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) yang berdaftar di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Awal Kanak-kanak (KWKPK) menerima Geran Tahunan Khas (GTK) bernilai RM5,000.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 1,762 pusat jagaan kanak-kanak menerima manfaat daripada GTK tersebut.

“GTK ini bertujuan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak selain mendapat pendidikan awal yang berkualiti tinggi merangkumi diet seimbang serta pembelajaran yang menyeronokkan.

“Selain itu, pemberian ini termasuk untuk program yang melibatkan ibu bapa, guru dan pengasuh serta mengimbangi sewa dan gaji, ”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Plak dan Perakuan Pendaftaran di Taska Pondok Ilmu No. 2 di sini, hari ini.

“Setakat 30 Jun lalu, kementerian telah memberi lebih dari RM7.9 juta kepada 1,593 taska di Sarawak

“Manakala, di peringkat persekutuan, 78 taska di Sarawak layak menerima RM3,000 dalam pakej Perlindungan dan Pakej Pemulihan Ekonomi Rakyat (PEMULIH), ”katanya.

Suara Sarawak