18 ahli parlimen dari Sarawak termasuk seorang bebas selesai menghadap Yang Di-Pertuan Agong secara maya di Kuching

KUCHING: Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan 18 ahli parlimen dari Sarawak termasuk satu bebas telah menghadap Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah secara maya di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Menurut Fadillah, pertemuan itu adalah untuk mengesahkan perakuan bersumpah kepada baginda secara sah bagi pemilihan calon perdana Menteri kesembilan.

“Seramai 18 ahli parlimen dari Sarawak menghadap tuanku pagi ini termasuk bebas iaitu Ahli Parlimen Lubuk Antu, Jugah Muyang.

“Seorang ahli parlimen daripada GPS iaitu Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing kini berada di Kuala Lumpur dan akan menghadap tuanku di sana,” katanya kepada pemberita selepas sesi mengadap Yang Di-Pertuan Agong bersama-sama ahli parlimen yang lain.

Bagaimanapun, Fadillah enggan mendedahkan nama perdana menteri yang mereka sokong dan menyerahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengumumkannya.

“Kita sudah ada calon dan kami sokong dengan sukarela tiada paksaaan. Proses ini akan selesai sehingga jam 5 petang hari ini,” ujarnya.

Suara Sarawak