Kadar kelahiran di Sarawak menurun sebanyak 50 peratus

KUCHING: Kadar kelahiran di Sarawak dari Januari hingga Julai tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 50.45 peratus, iaitu sebanyak 13,031 kelahiran berbanding 26,298 untuk tempoh yang sama pada 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penurunan ketara sebanyak 13,267 kelahiran itu berdasarkan statistik kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ini bermakna, tidak berlaku fenomena kelahiran bayi luar biasa atau Baby Boom di Sarawak, walaupun banyak pihak menjangkakan ia akan terjadi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Manakala statistik pendaftaran kelahiran pada 2020 menurun sebanyak 8.2 peratus atau 2,788 berbanding 2019,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan dengan JPN Sarawak dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga (LPPKN) Sarawak, di sini, pada Isnin.

Fatimah berkata, jumlah kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf ‘K’ sebanyak 33,304 (92.2 peratus) pada 2019; 31,176 (91.8 peratus) pada 2020; dan 13,031 (90.5 peratus) setakat Julai tahun ini.

Beliau turut bimbang mengenai penurunan drastik tersebut kerana menyebabkan populasi rakyat negeri ini berkurangan dan memerlukan tindakan segera bagi mengatasinya. “Kadar kelahiran yang rendah akan menyebabkan kita menjadi negeri tua lebih cepat daripada negeri-negeri lain di Malaysia. JIka melihat statistik ini, ia agak membimbangkan.

“Ini sesuatu yang perlu diambil perhatian. Kita perlu mendapatkan input daripada generasi muda terutama mengenai faktor utama yang mempengaruhi penurunan kelahiran di negeri ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM26 juta kepada Tabung Endowment Sarawak (EFS) tahun ini.

“Terdapat 26,478 bayi atau 85 peratus telah memohon EFS pada 2020, manakala setakat Julai lalu, sebanyak 9,352 atau 72 peratus juga memohon bantuan tersebut. “Tiga bahagian yang mencatatkan peratusan pendaftaran tertinggi ialah Bintulu, Sibu dan Kuching,”  ujarnya.

Mengenai Bantuan Ibu Bersalin (BIB) bernilai RM450 untuk setiap ibu Fatimah berkata, ia diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM16 juta. “Setakat Julai lalu, sebanyak 13,600 permohonan telah diterima, manakala pada 2020 sejumlah 23,564 ibu telah memohon.

“Semua permohonan BIB dan EFS ini amat mudah dan boleh dipohon melalui 52 cawangan JPN seluruh negeri, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian/Daerah atau Pejabat Daerah,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak