24 daerah status merah dan hanya lima zon hijau

KUCHING: Tiga daerah di Sarawak iaitu Kapit, Kanowit dan Belaga bertukar kepada status merah, hari ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah meningkat kepada 24 daerah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daerah Kapit dan Kanowit bertukar kepada daerah merah daripada jingga setelah masing-masing merekodkan 41 dan 50 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lalu.

“Daerah Belaga bertukar status daripada kuning kepada merah setelah merekodkan 50 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, JPBN mendedahkan daerah Beluru kembali kepada status jingga daripada merah setelah merekodkan 33 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Manakala daerah Tanjung Manis kembali kepada status hijau daripada kuning setelh tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh yang sama.

“Ini menjadikan sebanyak lima daerah berstatus hijau, lapan daerah kekal berstatus kuning dan tiga daerah berstatus jingga,” jelasnya.

Suara Sarawak