74 atlet ProPS dari luar Kuching terima bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan

KUCHING: Seramai 74 orang atlet Program Pembangunan Sukan (ProPS) dari luar Kuching yang sedang menjalani latihan dan ditempatkan sementara di rumah sewa menerima bantuan berupa barang keperluan pandemik Covid-19 daripada Kementerian Belia dan Sukan hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Berkata, bantuan yang disediakan adalah seperti pelitup muka, sanitasi tangan, makanan asas dan tambahan.

“Atlet-atlet ini datang dari pelbagai daerah seperti Limbang, Lawas, Miri, Belaga, Bintulu, Mukah, Tatau, Sibu, Kapit, Bintangor, Sarikei, Daro, Tanjong Manis, Saratok, Kabong dan Sri Aman.

“Saya berharap dengan bantuan, peluang dan ruang yang disediakan dapat mempertingkatkan potensi dan prestasi atlet dalam bidang sukan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Atlet Pembangunan 2021 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, hari ini.

Tambah beliau, sesi perjumpaan diadakan untuk bertemu dengan para atlet bagi mengetahui perkembangan perkembangan semasa ProPS.

Jelasnya, inisiatif program perjumpaan itu memberi impak besar dalam mencerminkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan dan cabaran yang dihadapi oleh para atlet untuk kekal cergas serta aktif walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Setakat ini, ProPS telah melibatkan 49 jenis sukan kompetetif dan 4,000 atlet dari seluruh Sarawak.

“Menjelang 2030, ProPS akan mempunyai lebih kurang 1,000 orang atlet terlibat secara langsung berlatih secara sistematik,” ujarnya.

Karim berharap Sarawak mampu bangkit sebagai kuasa sukan Malaysia dan bersedia untuk Suksar dan Sukma pada tahun hadapan.

Suara Sarawak