Alexander Nanta berjaya bantu Sarawak menerusi KPDNHEP

KUCHING: Kedudukan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membolehkan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi membantu Sarawak dalam mencapai penyelesaian isu cukai jualan petroleum dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Malah, beliau juga telah mendapatkan kebenaran untuk SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak di Sarawak dan mendapatkan Pengecualian Kawal Selia LPG di negeri ini.

“Pencapaian-pencapaian ini telah menjadi salah satu peristiwa penting buat Kerajaan Sarawak.

“Setinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di atas kepercayaan beliau mencalonkan saya sebagai salah seorang ahli Parlimen dari Sarawak untuk bersama-sama barisan ahli kabinet Perikatan Nasional (PN) yang lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Menurut Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit, masih banyak lagi perancangan yang ingin beliau laksanakan sekiranya diberikan tempoh berkhidmat lebih lama.

“Namun, saya akur dengan situasi semasa yang melanda negara pada ketika ini,” katanya sambil berharap kemelut politik ketika ini akan dapat diselesaikan sebaik mungkin dengan segera demi kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, peletakan jawatan Muhyiddin tentunya akan meninggalkan kesan kepada sistem pentadbiran negara, namun beliau percaya tempoh sukar ini akan dapat diatasi dengan sebaiknya.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menerajui KPDNHEP selama 17 bulan.

“Saya amat menghargai peluang ini dan sesungguhnya tempoh sebagai menteri KPDNHEP ini telah memberikan banyak pengalaman dan pelajaran yang cukup bermakna kepada saya,” katanya.

Sementara, Alexander berkata dalam sepanjang tempoh menerajui KPDNHEP, beliau telah menerima kerjasama daripada semua pemain industri sektor perdagangan dan peruncitan yang sering memberi maklum balas konstruktif bagi membantu kementerian mencari jalan kepada pelbagai isu.

Menjelas lanjut, beliau berkata dasar pintu terbuka yang sering beliau tekankan telah memberi peluang kepada ramai pihak untuk sama-sama memberikan pendapat mereka bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

“Tidak ketinggalan konsep “ease of doing business” yang sering saya ingatkan kepada semua pegawai supaya kementerian ini dapat berfungsi secara maksimum bagi memudahkan peniaga dan pengguna.

“Tidak ketinggalan, isu-isu pengguna yang turut dekat di hati saya,” katanya.

Suara Sarawak