Alexander sifatkan pelantikan semula pegang KPDNHEP satu kepercayaan dan tanggungjawab besar menjaga kepentingan pengguna dan perniagaan domestik dalam negara.

KUCHING: Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerima dengan hati terbuka dan sangat menghargai pelantikan semula beliau sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga berkata, pelantikan semula ini merupakan satu kepercayaan dan tanggungjawab besar kepada beliau untuk meneruskan segala inisiatif dan usaha bagi menjaga kepentingan pengguna dan perniagaan domestik dalam negara.

“Berdasarkan pengalaman menerajui Kementerian selama 17 bulan sebelum ini, saya akui tanggungjawab menerajui KPDNHEP tidak mudah, tetapi dengan kerjasama daripada Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan juga pegawai tertinggi serta semua warga kerja KPDNHEP.

“Saya percaya segala usaha membantu rakyat oleh Kementerian ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata beliau menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ketika meninggalkan Kementerian tersebut susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya terdapat banyak perancangan yang telah dirangka bagi membantu pengguna dan komuniti peniaga di negara ini.

“Dengan pelantikan semula saya sebagai Menteri KPDNHEP, saya komited untuk meneruskan perancangan yang tergendala itu yang banyak tertumpu kepada usaha Kerajaan membantu memulihkan ekonomi rakyat serta sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara,” ujarnya.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak