Palsukan keputusan ujian calitan Covid-19 pengurus farmasi didenda RM5,000

KUCHING: Seorang pengurus farmasi dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan memalsukan dokumen ujian calitan Covid-19 pada 30 Julai lalu.

Hakim Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman kepada wanita berusia 33 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta Sama dibacakan terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, tertuduh memohon permit di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk kembali ke Bintulu pada 30 Julai lepas.

Tertuduh telah menunjukkan salinan dokumen keputusan ujian calitan yang dibuat di sebuah hospital swasta.

Namun demikian, ketika pengesahan dibuat pihak polis mendapati berlaku penipuan bagi keputusan ujian calitan kerana tertuduh tidak melakukan sebarang ujian di hospital yang dinyatakan.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Suara Sarawak