Bangga kibar Jalur Gemilang

KOTA SAMARAHAN: Rakyat di negeri ini mula menghiasi kenderaan masing-masing dengan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Madihi Sarbani, 58, dari Mukah turut memasang empat bendera Sarawak dan satu Jalur Gemilang pada motosikalnya.

Madihi Sarbani

“Tetapi tiga bendera Sarawak pada motosikal saya telah tercabut diterbangkan angin ketika sedang berulang-alik sekitar Kota Samarahan tadi (kelmarin),” katanya ketika menghiasi motosikalnya berhampiran Aiman Mall, di sini.

Madihi yang menjadi penghantar makanan Grab sejak 2018 menjelaskan, dia akan menggantikan semula tiga bendera Sarawak yang tercabut itu dan menambah lima Jalur Gemilang lagi pada motosikalnya.

“Selain itu, saya juga akan memasang bendera negeri lain di sekeliling motosikal sebagai tambahan,” katanya.

Beliau menjangkakan berbelanja RM10 bagi tujuan itu dan mengalu-alukan manamana pihak untuk mahu menaja pengibaran bendera kepada pemilik motosikal sepertinya.

“Saya melakukan ini semua kerana mahu menunjukkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan juga anak Sarawak,” tambahnya.

PELBAGAI bendera negeri lain yang akan dipasang bagi menghiasi motosikalnya.

 

 

Suara Sarawak