Beri kuasa kepada rakyat menentukan PM, kerajaan baharu

KUCHING: Pilihan Raya Umum (PRU) wajar diadakan bagi menyelesaikan perebutan kuasa dalam kerajaan persekutuan, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim.

Menurutnya, tiada alasan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya ketika menghadapi pandemik Covid-19 kerana sebilangan besar rakyat negara ini sudahpun menerima vaksinasi lengkap.

Malah, katanya SPR juga boleh belajar bagaimana untuk mengadakan pilihan raya yang selamat daripada negara-negara yang sudah mengadakan pilihan raya sewaktu pandemik Covid-19, seperti Singapura, New Zealand dan Amerika Syarikat.

“Kalau negara-negara ini dapat mengadakan pilihan raya, kenapa Malaysia tidak dapat?

“Pada pandangan peribadi saya, dengan menangguhkan pilihan raya akan terus menyebabkan perebutan kuasa berlaku.

“Jadi, penyelesaian terbaik ialah dengan mengadakan pilihan raya,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ketua Cawangan PBB Batu Kawa berkata sewajarnya rakyat diberikan kuasa untuk menentukan kerajaan baharu.

Beliau menambah rakyat sudah cukup matang dan dapat menilai pemimpin yang bagus untuk mentadbir negara.

“Bagi kuasa kepada rakyat untuk memilih dan diharap pemilihan dapat dibuat dengan betul, bijaksana dan matang demi keselamatan, kemakmuran dan kejayaan negara,” katanya.

Sementara mengenai calon Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan, Ahmad yakin Yang di-Pertuan Agong mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan calon yang layak.

“Saya percaya Tuanku akan memilih calon yang bagus, maknanya hati jujur, minda baik serta mempunyai rekod yang baik dan bukannya orang yang keluar masuk mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata adalah sebaiknya agar Muhyiddin dikekalkan sebagai Perdana Menteri sementara sehingga pilihan raya diadakan.

“Mungkin PRU dapat diadakan dalam dua atau tiga bulan lagi untuk rakyat memilih Perdana Menteri yang berkelayakan,” katanya.

Suara Sarawak