Calon PM Ke-9: GPS kemuka satu nama sahaja kepada Agong

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya mengemukakan satu nama calon yang disokongnya sebagai Perdana Menteri Kesembilan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sokongan terhadap calon berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh pemimpin-pemimpin GPS.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi GPS enggan mendedahkan nama calon berkenaan.

“Kami sudah mengemukakan nama kepada Istana Negara, jadi kita serahkan kepada Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu-bual selepas perjumpaan khas bersama pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Parlimen GPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau ada dihubungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menarik sokongan GPS terhadap Pakatan Harapan (PH), Abang Johari berkata tidak ada.

Sementara, Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof juga enggan mendedahkan nama calon berkenaan.

“Tunggu Agong umum, kita tidak mahu masuk campur urusan pemilihan Perdana Menteri,” katanya yang juga ditemu-bual.

GPS yang menggabungkan empat parti tempatan Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai 18 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, PBB mempunyai 13 kerusi, PRS dan PDP masing-masing dua kerusi dan SUPP satu kerusi.

Suara Sarawak