Doakan untuk Pandelela, beraksi peringkat separuh akhir hari ini

TOKYO: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta rakyat Malaysia mendoakan kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang bakal beraksi pada peringkat separuh akhir 10 meter (m) platform individu wanita Sukan Olimpik 200 di Tokyo hari ini.

Reezal Merican yang bersyukur atas pencapaian Pandelela itu selepas menghuni tangga ke-18 dalam pusingan awal semalam, berharap agar atlet dari Sarawak itu juga mampu membuat kemunculan pada aksi akhir, yang dijadual turut berlangsung hari ini.

“Doakan terbaik agar Pandelela dapat capai keputusan terbaik untuk negara esok,” katanya dalam satu video dikongsi kepada media.

Pandelela Rinong berdepan detik cemas, apabila menjadi penerjun terakhir layak ke separuh akhir manakala seorang lagi penerjun negara Cheong Jun Hoong, terlepas peluang ke peringat seterusnya selepas menduduki tempat ke-26, susulan prestasi yang kurang konsisten pada terjunan awal.

Pandelela mengumpul 284.90 mata, manakala Jun Hoong pula 251.80 mata.

Reezal Merican yang ketika ini berada di Tokyo bagi menyatakan sokongan kepada atlet negara, sekali lagi mengajak orang ramai untuk memberikan tumpuan kepada Pandelela yang masih membawa cabaran negara, esok.

Bagaimanapun, beliau tidak menganggap persembahan atlet termasuk Jun Hoong sebagai suatu kekurangan, kerana mereka telah melakukan terbaik walaupun berdepan tempoh sukar sebelum ini, termasuk kekurangan aksi kompetitif susulan pandemik COVID-19.

Katanya, situasi itu bukan sahaja melanda atlet negara malah banyak kejutan berlaku dalam temasya Olimpik kali ini, termasuk kegagalan beberapa bintang sukan ternama dunia untuk meraih pingat.  – BERNAMA

Suara Sarawak