Dr Jerip bantu suntik vaksin kepada penduduk Muk Ayun, Nyegol dan Sapit

PADAWAN: Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil turut serta memberi suntikan dos kedua vaksin Covid-19 kepada penduduk di tiga buah kampung di sini.

Terdahulu, beliau telah membantu menyuntik seramai 134 orang penduduk Kampung Muk Ayun dan Kampung Nyegol di hulu Empangan Bengoh, semalam.

Dengan menaiki bot selama 30 minit untuk sampai di kedua-dua kampung berkenaan, kehadiran Adun Mambong itu sekaligus membantu pasukan vaksinasi dari Klinik Kesihatan Braang Bayur menerusi Program Jangkauan Vaksinasi Daerah Kecil Padawan.

Turut hadir Residen Bahagian Kuching merangkap Pengerusi Jawatankuasan Bencana Bahagian Kuching Sherrina Husaini, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak Sophian Isswandy Ismail, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Braang Bayur Dr Syed Tawfiq dan Pegawai Daerah Padawan Julius Scott Sapong.

“Kehadiran penerima vaksin dilihat amat menggalakkan dengan kadar 99 peratus yang telah divaksin, walaupun masih ada penduduk yang enggan divaksin,” kata Dr Jerip dalam kenyataan, hari ini.

Pada hari ini, Dr Jerip menyertai pasukan vaksinasi dari Klinik Kesihatan Padawan memberikan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 kepada lebih 100 orang penduduk di Kampung Sapit, di sini.

Justeru, katanya sambutan yang sangat baik dari penduduk kampung terbabit telah menjayakan Program Jangkauan Vaksinasi Daerah Kecil Padawan, sekaligus membolehkan konstituensinya mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Dr Jerip semasa hadir menyertai Program Jangkauan Vaksinasi Daerah Kecil Padawan di Kampung Muk Ayun dan Kampung Nyegol di hulu Empangan Bengoh, semalam.

 

Suara Sarawak