Dua selamat, kereta rempuh tiang telefon

SARIKEI: Dua individu nyaris maut selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang telefon di Jalan Jambatan Nyelong di sini, hari ini.

Dalam insiden kira-kira jam 11.10 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 68 dan 54 tahun bernasib baik dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Sibu menghala ke Sarikei.

“Setibanya di lokasi, pemandu yang merupakan wanita dan penumpang lelaki masih berada di dalam kereta dan tidak tersepit.

“Sebagai tindakan susulan, kita menstabilkan kenderaan sebelum membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pasukan juga melakukan pemeriksaan dan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat untuk dilalui kenderaan lain.

Suara Sarawak