Empat cedera dalam kemalangan di Sri Aman, pagi tadi.

SRI AMAN: Empat individu cedera selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di KM 5 Jalan Sri Aman/ Kuching sekitar jam 8.45 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supritendan Alexson Naga Chabu berkata, pemandu dan dua penumpangnya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang patah tulang rusuk dan tangan kiri.

“Kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa yang berusia antara 26 hingga 52 tahun menuju ke bandar Sri Aman telah dilanggar sebuah kereta lain yang sedang bergerak dari IPD Sri Aman menuju ke Skrang.

“Siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan oleh pemandu kereta yang menuju Skrang itu gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Semua mangsa yang cedera telah dibawa ke ke hospital Sri Aman untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kejadian berlaku ketika cuaca hujan dan jalan licin, sementara sampel darah bagi kedua-dua pemandu telah diambil untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak