Gelandangan tidak terpinggir untuk vaksinasi

KUCHING: Seramai 87 orang gelandangan telah divaksin dengan mendapat sekurang-kurangnya dos pertama, setakat 20 Ogos ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ia melibatkan 16 orang gelandangan di Miri, 17 orang di Kuching, seorang di Samarahan, tujuh orang di Sarikei, tiga orang di Serian seorang di Betong dan tujuh orang di Kapit.

“Seramai tiga orang gelandangan telah lengkap menerima dua dos vaksin, iaitu dua orang di Miri dan seorang di Betong.

“Selepas ini, giliran Bahagian Bintulu pula akan menjalankan operasi vaksinasi untuk gelandangan mereka,” katanya sempena Program Vaksinasi Komuniti Gelandangan di Tebingan Kuching, malam tadi.

Sementara, Fatimah berkata Kerajaan Sarawak telah meluluskan penubuhan Tempat Transit Gelandangan (TTG) dalam Rancangan Malaysia Ke 12 di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu yang mempunyai bilangan gelandangan yang ketara.

Katanya TTG Sibu akan siap pada September 2021 manakala lokasi TTG Bintulu sudah dikenalpasti.

“TTG berfungsi sebagai tempat transit bagi gelandangan untuk membersih diri, makan malam dan tidur sebelum keluar keesokan harinya untuk menjalankan urusan masing-masing.

“Di TTG juga mereka dapat diberi rujukan intervensi yang diperlukan untuk menangani isu yang dihadapi, menyertai “social enterprise” yang disediakan serta diberi bimbingan dan kauseling,” katanya.

Fatimah meninjau proses vaksinasi gelandangan di Tebingan Sungai Kuching, malam tadi.

Suara Sarawak