Gelanggang latihan dipindah

KUCHING: Keselesaan bakal dialami petinju Sukma Sarawak dalam menjalani latihan harian mereka selepas ini.

Ia berikutan gelanggang kegunaan anak-anak buah Wilbur Buag Ay Andogan yang sudah dipindah ke Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, proses pemindahan gelanggang tersebut sudah pun selesai.

Bagaimanapun katanya, sesi latihan masih belum dapat dijalankan berikutan situasi negara yang masih belum selamat ekoran pandemik Covid-19.

“Gelanggang untuk latihan sudah dipindah ke Stadium Sarawak, Petra Jaya.

“Tentunya petinju akan lebih selesa untuk berlatih kelak,” ujar Datuk Rahman kepada Arena Suara Sarawak hari ini.

Menurut beliau, sesi latihan para petinju ketika ini dilihat agak terhad apabila mereka hanya melakukan rutin harian berkenaan di kediaman masing-masing.

“Tiada masalah bagi mereka untuk berlatih, cuma ia agak terhad dan jauh lebih kurang jika dibanding berlatih di gelanggang sebenar,” tambah Datuk Rahman lagi.

Suara Sarawak