GPS menjunjung demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai “caretaker” Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata GPS menjunjung demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin telah melakukan yang terbaik terutama dalam menangani penularan pandemik Covid-19 di negara ini termasuk dalam mempercepatkan program imunisasi kebangsaan, dengan ia sudahpun menampakkan hasil.

“Namun saya agak terkilan di sebalik komitmen padu dan kesungguhan Kerajaan PN dalam menangani pandemik dan membantu rakyat, Perdana Menteri ke-8 itu terpaksa berdepan tekanan politik perebutan kuasa, yang menyebabkan beliau terpaksa mengambil keputusan untuk berundur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata GPS menghormati keputusan Muhyiddin yang melepaskan jawatan bersama seluruh anggota
kabinet berkuat kuasa hari ini.

Katanya keputusan yang dibuat itu adalah berlandaskan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Sementara, Fadillah menyatakan penghargaan kepada Muhyiddin yang telah memberi kepercayaan kepadanya untuk memikul amanah sebagai Menteri Kanan Infrastruktur dan menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) sejak 10 Mac 2020.

Katanya sepanjang menerajui KKR buat kali kedua (10 Mac 2021 – 16 Ogos 2021) dan pada kali pertama (2013 – 2018), beliau telah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteraan infra rakyat dan negara.

“Saya berharap sesiapa sahaja Menteri Kerja Raya yang akan dilantik selepas ini akan meneruskan segala projek yang telah diluluskan dan dirancang demi kesejahteraan infra rakyat, seperti mana kerajaan PN meneruskan semua projek yang telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

“Kita tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat krisis politik berpanjangan dan kekerapan pertukaran kerajaan.

“Apa sahaja projek yang dijanjikan kepada rakyat demi kesejahteraan rakyat perlu diteruskan,” tegasnya.

Suara Sarawak