GPS terus sokong Muhyiddin, jangan heret rakyat dalam krisis politik negara

KUCHING: Tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19 hanya akan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agungnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua Ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing pada usul undi percaya di sidang Parlimen bulan hadapan.

“Justeru, GPS berharap semua pihak berhenti dahulu bermain politik dan menentukan pendirian sama ada mahu menyokong atau tidak pada usul percaya kepada Perdana Menteri nanti,” katanya kepada pemberita selepas Perjumpaan Khas GPS di sini, hari ini.

Tambah Nanta, GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan sebagai satu tindakan berani dan bijak serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan.

Dalam pada itu, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit sekali lagi menegaskan bahawa kesemua 18 Ahli Parlimen GPS mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

“Keutamaan GPS ketika ini adalah memerangi pandemik Covid-19, menjaga keselamatan rakyat, mempercepatkan dan menjayakan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri termasuk negara,” tambahnya.

Suara Sarawak