Guna media sosial secara berhemah

MEDIA sosial mempunyai kuasa yang besar untuk mengangkat nama seseorang, menjatuhkan maruah seseorang, menjatuhkan perniagaan seseorang dan menjadi platform bergaduh sesama netizen.

Kegunaan media sosial ibarat mengajar seorang bayi yang baru lahir sehingga bayi itu menjadi dewasa, sama ada menjadi seorang yang berguna atau menjadi sebaliknya.

Penggunaan media sosial yang luas, memberi pelbagai impak, sama ada daripada sudut emosi, psikologi, pergaulan dan sumber pendapatan.

Namun, tidak seperti seiring peredaran zaman yang semakin maju dan moden, media sosial digunakan sebagai platform untuk menyebarkan fitnah.

Antara mereka yang menjadi sasaran ialah golongan artis, orang kenamaan, ahli politik, ahli perniagaan yang berjaya, golongan yang pernah mencipta nama di persada dunia dan sebagainya.

Hal ini tidak terkecuali berlaku dalam kalangan orang awam seperti penjawat awam, orang kampung dan sesiapa sahaja yang mempunyai akaun media sosial seperti WhatsApp, facebook, instagram, telegram dan sebagainya.

Selain tindakan saman sivil (saman fitnah), fitnah juga boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah.

Kanun Keseksaan telah memperuntukkan fitnah sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh didenda dan dipenjara jika sabit kesalahan.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa jika manamana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

Jika sabit kesalahan memfitnah orang lain, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Orang awam harus tahu dan sedar tentang tanggungjawab mereka apabila ingin memberitahu sesuatu perkara, menyampaikan berita atau sebagainya dengan menggunakan media sosial secara bijak.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa tindakan sindir menyindir di media sosial boleh mengganggu emosi, psikologi dan kehidupan seseorang.

Walaupun penggunaan media sosial adalah luas, namun kelebihan negara demokrasi ini haruslah dimanfaatkan sebaiknya agar tidak memberi musibah, masalah dan penyesalan pada masa akan datang.

Perasaan hasrat dengki sesama manusia menjadi punca fitnah di media sosial kerana rangkuman media sosial ini sungguh besar dan sangat meluas.

Sesiapa sahaja boleh melihat data-data peribadi seperti nama, nombor telefon, tempat tinggal, tempat yang pernah dikunjungi dan sebagainya di media sosial.

Meskipun media sosial adalah platform terbaik untuk berniaga, menyampaikan berita, mencari kawan lama, menambah kenalan dan mencari maklumat, namun platform ini haruslah diguna dengan berhati-hati agar tidak memberi kesan buruk pada masa hadapan.

Selain ditipu, pengguna media sosial juga harus bersedia berhadapan dengan fitnah pengguna media sosial yang lain yang bakal menggugat maruah, nama dan reputasi seseorang.

Maruah dan reputasi seseorang boleh tercalar dalam sekelip mata menerusi media sosial berbanding dengan hasutan dari mulut ke mulut manusia pada zaman dahulu.

Kesan psikologi daripada fitnah boleh menyebabkan seseorang mengalami tekanan, keresahan, ketakutan, emosi dan sebagainya sehingga membawa kepada tindakan membunuh diri.

Ini kerana, apabila seseorang difitnah peluang untuk membersihkan nama mangsa adalah tipis, kerana penyebaran meluas media sosial yang terlampau pantas.

Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada kehidupan seseorang dan memberi impak kepada masyarakat sekeliling.

Maka, setiap individu memainkan peranan penting dalam menguruskan sikap dan perasaan untuk meluah, memberitahu dan memberi apa-apa kenyataan di media sosial.

Jadilah pengguna media sosial yang berhemah kerana gambaran kenyataan yang dikeluarkan di media sosial adalah gambaran kepada keperibadian kita sendiri.

Sekiranya kita sering kali tidak berpuas hati, mencaci, menghina dan memburukan nama orang lain atas dasar cemburu kepada kejayaan orang lain di media sosial impaknya akan memberi bencana kepada kita sendiri.

Ingat! Memfitnah seseorang boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hal ini haruslah diketahui oleh semua rakyat Malaysia.

Malah dalam konteks agama itu sendiri, bahawa budaya fitnah amat dilarang.

Suara Sarawak