Hanya individu lengkap vaksinasi dibenar bekerja terutama di premis tertutup

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menyarankan hanya golongan yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan bekerja khususnya di premis tertutup.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia berikutan peningkatan kes positif disebabkan varian Delata serta penambahan kluster melibatkan tempat kerja.

“Setakat ini, 1,653,259 atau 80.9 peratus individu di negeri ini telah menerima vaksinasi lengkap, manakala 166,415 masih menunggu dos kedua sepanjang bulan ini.

“Secara keseluruhan, 1,819,674 golongan dewasa yang layak dijangka akan menerima dos lengkap menjelang akhir bulan Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBN berkata pihaknya bersetuju memberi kelonggaran kepada operasi perniagaan sepanjang bulan Ogos ini dengan golongan bekerja yang layak perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi Covid-19.

“Sementara golongan yang tidak layak atas sebab kesihatan boleh menunjukkan rekod kesihatan yang diperoleh daripada pegawai kesihatan yang sah,” tambahnya.

Suara Sarawak