Harga runcit maksimum minyak masak 5 kg bawah RM30

KUCHING: Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen adalah tidak melebihi RM30 untuk botol lima kilogram.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak Mogan Arumugam berkata, pelaksanaan harga kawalan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mengenai komitmen kerajaan membantu rakyat meringankan kos sara hidup.

Menurutnya, ia juga bagi menangani isu kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia.

“Kerajaan telah bersetuju melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, KPDNHEP telah mewartakan harga minyak masak sawit tulen melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.6) 2021 yang telah berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

Harga runcit yang diwartakan bagi minyak masak sawit dalam kemasan botol lima kilogram adalah pada harga RM29.70 sebotol, botol satu kilogram (RM6.70), dua kilogram (RM12.70) dan tiga kilogram (RM18.70).

Suara Sarawak