Hasrat Koperal Ehsan siapkan rumah sendiri tidak kesampaian

ASAJAYA: Bapa arwah Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat, mendedahkan hasrat anak keenamnya itu untuk menyiapkan rumah sendiri tidak kesampaian, malah terhenti selepas mangsa pergi buat selama-lamanya akibat insiden tembakan di kem Skuadron TUDM, semalam.

Jelasnya Sehamat Enggol, 59, arwah menyatakan hasrat tersebut kepada beliau dan isteri pada minggu lepas.

“Arwah ada menyebut hendak membuat majlis kesyukuran di rumah baharu itu pada hujung tahun nanti kerana ia dijangka siap dalam tempoh tersebut.

“Sekali gus meraikan kelahiran anak pertamanya memandangkan isteri arwah kini sedang hamil empat bulan,” katanya sayu.

Menurut Sehamat, tapak rumah yang mula dibina awal tahun ini telah siap sepenuhnya dengan usaha arwah sendiri dan hanya menunggu untuk didirikan dinding serta bumbung.

Dedah beliau, arwah telah membelanjakan hampir RM30,000 termasuk pembelian tapak rumah itu yang bernilai RM10,000 selepas bernikah dengan isterinya pada November tahun lalu.

Dalam pada itu bapa saudara arwah, Said Narawi, 59, memberitahu, dia antara individu yang rapat dengan arwah kerana telah diamanahkan sebagai kontraktor utama dalam menyiapkan rumah baharunya di Kampung Asajaya Laut itu.

Menurut Said, pada minggu lepas beliau sempat berbincang dengan arwah untuk menyambung semula proses pembinaan rumahnya berikutan arwah berniat untuk menetap di rumah itu hujung tahun ini.

Ditanya mengenai persiapan rumah itu selepas ini, Said dan Sehamat berharap untuk menyambung semula pembinaan sehingga siap sepenuhnya sebagai menunai penuh hasrat arwah.

Suara Sarawak