Jangan bawa anak keluar makan di kedai

SIBU: Ibu bapa di sini dinasihati tidak membawa anak-anak mereka yang berusia bawah 17 tahun keluar makan di dalam premis makanan, mengunjungi pasar raya, pusat beli-belah serta kedai. Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, ini kerana anak-anak berusia bawah 17 tahun masih belum menerima vaksin Covid-19.

“Selaras dengan pelaksanaan inisiatif yang dikuatkuasakan oleh MPS di Sibu ‘Belum Divaksin, Dilarang Masuk’, golongan tersebut ketika ini belum dibenarkan menerima vaksin di negara kita.

“Oleh itu, inisiatif yang kami laksanakan ini merangkumi individu 17 tahun ke bawah kerana mereka belum divaksin,” katanya kepada media selepas meninjau proses vaksinasi di Pasar Sentral Sibu, pada Sabtu.

Ting berkata, sebelum ini kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan masuk ke mana-mana premis perniagaan di Sibu merangkumi pasar raya, pusat beli-belah, premis makanan, Pasar Sentral Sibu termasuk kedai.

“Sebelum ini, ada pemilik premis perniagaan bertanya mengenai perkara ini sebab pada awalnya, kami hanya tidak membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. “Di sini, mereka keliru, sama ada inisiatif ini merangkumi individu berusia 13 hingga 17 tahun.

Jadi hari ini (semalam) saya menerangkan serta menetapkan perkara ini bahawa ia turut merangkumi 17 tahun ke bawah,” ujar beliau. Beliau bagaimanapun kesal kerana ada segelintir ibu bapa masih bebas membawa anakanak keluar ke bandar atau makan di premis makanan.

“Tidak kurang pula membawa anak-anak mereka mengunjungi pasar raya dan pusat beli-belah,” tambahnya. Jelasnya, kemunculan varian Delta yang cepat menular amat membimbangkan, namun ada ibu bapa masih membawa anakanak mereka berjalan-jalan.

“Kalau begini, lebih baik ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah. Sekolah lebih penting daripada makan di kedai, berjalan-jalan di pasar raya. “Apabila sekolah dibuka, ibu bapa bising tetapi dapat juga bawa anak-anak keluar,” ujar beliau. Dalam perkembangan lain, Ting yakin pelaksanaan ‘Belum Divaksin, Dilarang Masuk’ akan dilaksanakan di lebih banyak premis perniagaan di Sibu.

Menurutnya, perjumpaan dan mesyuarat dengan komuniti perniagaan di Sibu dan MPS akan diadakan secara maya esok. Beliau berkata, banyak komuniti perniagaan di Sibu setuju dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh MPS itu setelah dilaksanakan di Pasar Sentral Sibu sejak 1 Ogos lalu.

“Ini semata-mata untuk kita mengalakkan orang ramai mendapatkan vaksinasi mereka. Vaksinasi bakal menjadi ‘lesen’ untuk kita di Sibu mengunjungi mana-mana premis perniagaan,” jelas Ting.

Suara Sarawak