Jejambat terpanjang di Sarawak dijangka siap hujung tahun ini

BINTULU: Pembinaan jejambat sepanjang 1.2 kilometer di Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Jajaran Bintulu-Miri Projek Pakej Kerja (Work Package Contract-WPC 10) Batu 5 – Sungai Tangap, Nyabau merupakan jejambat terpanjang di negeri ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jejambat itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Katanya,  beliau sendiri telah melihat jejambat tersebut dan cuma beberapa kerja penurapan dan lain-lain masih dalam proses penyiapan.

“Beruntung orang Bintulu mendapat jejambat paling panjang,” katanya pada sidang media semasa memantau perkembangan projek tersebut, hari ini.

Tambah Fadillah, kementeriannya akan membuat audit sebelum ia diluluskan pembukaan kepada orang ramai sekiranya siap penghujung tahun kelak.

Pada masa sama, beliau mempelawa anak-anak Sarawak khususnya yang  berpengalaman dan tidak mempunyai kerja untuk memohon pekerjaan  dalam projek pembinaan LPB ekoran kekurangan tenaga kerja kerana sebelum ini majoritinya merupakan warga Indonesia.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak