Jemaah lengkap vaksin dibenarkan solat di masjid, surau bermula 10 Ogos.

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membenarkan solat di masjid dan surau bagi jemaah yang sudah menerima vaksinasi lengkap berkuat kuasa pada 10 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan tersebut adalah terpakai untuk semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan protokol kesihatan awam seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Selain memastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat,” katanya pada Pengumuman Khas Kemudahan Bagi Individu Yang Telah Menerima Vaksinasi Lengkap, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengingatkan para jemaah untuk menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 kepada petugas masjid dan surau sebagai bukti sudah lengkap menerima vaksin.

Tambah Muhyiddin, kemudahan tersebut turut diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah ibadat masing-masing.

“Pelaksanaan kemudahan ini adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak