KUCHING: Ketua Pasukan Kuching City FC (KCFC) Joseph Kallang Tie serta rakan sepasukan mahu terus fokus dalam mempersiapkan diri masing-masing menjelang perlawanan menentang Terengganu II FC kelak.

Pemain tengah itu berkata beliau mahu pasukannya meraih tiga mata berharga pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri pada 17 Ogos ini.

“Banyak dugaan yang ditempuhi oleh kami pada masa ini dengan baru sahaja menamatkan tempoh kuarantin.

“Tetapi itu bukan alasan untuk kami tidak fokus dengan perlawanan yang bakal kami hadapi selepas ini iaitu dengan Terengganu II FC,” katanya ketika dihubungi Arena Suara Sarawak.

Kata Joseph, ketika ini para pemain juga akan mempertingkatkan latihan dan corak permainan masing-masing dari semasa ke semasa.

KCFC dijadualkan menerima kunjungan Terengganu II FC pada 24 Julai lalu namun terpaksa ditunda berikutan beberapa pemain dan pegawai dikesan positif Covid-19.

KCFC kini berada di kedudukan ke-10 Liga Premier dan memperoleh 10 mata dari 10 perlawanan yang dimainkan sepanjang liga.

Suara Sarawak