Kadar kelahiran menurun lebih 50 peratus, tiada fenomena ‘Baby Boom’ di Sarawak

KUCHING: Kadar kelahiran di Sarawak dari Januari hingga Julai tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 50.45 peratus, iaitu sebanyak 13,031 berbanding 26,298 untuk tempoh yang sama pada tahun 2020.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, angka penurunan ketara sebanyak 13,267 kelahiran tersebut adalah berdasarkan statistik kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ini bermakna tidak berlaku fenomena kelahiran bayi luar biasa atau ‘Baby Boom’ di Sarawak walaupun ramai pihak yang menjangka ia akan terjadi akan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Manakala statistik pendaftaran kelahiran pada tahun 2020 menurun sebanyak 8.2 peratus atau 2,788 berbanding tahun 2019,” katanya pada sidang media selepas sesi pertemuan bersama JPN Sarawak dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga (LPPKN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, jumlah kelahiran anak Sarawak warganegara Malaysia yang mempunyai taraf pemastautin huruf “K” adalah sebanyak 33,304 (92.2 peratus) pada tahun 2019; 31,176 (91.8 peratus) pada 2020; dan 13,031 (90.5 peratus) setakat Julai tahun ini.

Suara Sarawak