Kastam Sarawak rampas rokok seludup bernilai lebih RM800,000

KUCHING: Sebanyak sejuta batang rokok putih disyaki tidak lulus cukai kastam dirampas di sebuah kedai makan kawasan perniagaan Malihah Sentral, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Herman Abdullah berkata, serbuan sekitar jam 11.40 pagi dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuching bersama Cawangan Siasatan Khas (CSK) Sarawak.

Menurut beliau stor simpanan transit rokok seludup itu dikenal pasti selepas pihaknya menerima aduan laporan dan maklumat daripada orang awam.

“Serbuan ke atas premis yang dilakukan selepas itu akhirnya menjurus kepada penemuan 100 kotak yang mengandungi satu juta batang rokok putih.

“Melibatkan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM880,000 termasuk duti cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan operasi berjaya merampas sejuta batang rokok putih disyaki tidak lulus kastam.

Dedahnya setakat ini tiada sebarang pengakuan daripada mana-mana individu terhadap pemilikan barang tersebut dan siasatan lanjut akan dilaksanakan.

Herman selain itu mendedahkan, modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan kedai kopi sebagai pusat simpanan rokok seludup sementara untuk mengaburi pihak berkuasa sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak