Kerajaan Sarawak komited tingkatkan sosioekonomi rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan sosioekonomi yang mampan dalam usaha menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk mencapai sasaran tersebut kerajaan akan membangunkan ekonomi berteraskan kepada sumber-sumber yang ada dalam negeri.

“Sumber-sumber tersebut akan kita tambah nilai dengan ilmu terkini bagi melahirkan rakyat Sarawak yang mempunyai kemahiran serta kepakaran dalam ilmu yang diperlukan.

“Selain itu, kita hendaklah mempunyai ekonomi yang baik dengan hasilnya dapat dieksport keluar dan ke pasaran terbuka.

“Kesemua ini adalah berasaskan kepada pengajaran Islam. Iaitu menambah nilai kepada sumber negeri yang ada melalui ilmu dan seterusnya digunakan untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Doa Akhir Tahun 1442H dan Awal Tahun 1443 sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Tambahnya, semua konsep tersebut telah dimasukkan ke dalam strategi pasca-Covid-19 yang diambil kerajaan negeri untuk membangunkan Sarawak.

Terdahulu, sambutan tersebut dihadiri kira-kira 200 tetamu jemputan dan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud; Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta barisan kabinet negeri yang lain.

Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Abang Johari serta tetamu kehormat yang lain merakam kenangan selepas Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya, di Kuching.

Suara Sarawak