Kerajaan stabil pastikan program vaksinasi lancar

MUKAH : Kerajaan yang ada kini mestilah stabil bagi memastikan program vaksinasi dapat laksanakan dengan lancar khasnya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg percaya bahawa untuk tempoh ini perkara yang penting ialah perlu wujud kerajaan Malaysia yang stabil.

“Bagi di Sarawak kita tiada masalah bagi ahli parlimen kita dari Sarawak ditugaskan menjadi menteri di kerusi kabinet.

“Kita di Sarawak ingin ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melantik semula ahli parlimen kita dari Sarawak untuk kali ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu jelas Abang Johari langkah suntikan vaksinasi kini juga mesti diberi kepada seluruh rakyat di Malaysia.

“Kita di Sarawak kini 86 peratus rakyat telah menerima dos penuh vaksin ini tetapi kes positif yang meningkat adalah disebabkan varian Delta.

“Bagaimanapun dari segi kemudaratan bagi golongan yang telah divaksin ini diakui memberi kesan positif dengan kadar kematian yang tidak melebihi dua angka, penggunaan bilik ICU yang kurang dan jangkitan yang tidak teruk.

“Kini kita juga menubuhkan sebuah jawantankuasa professional yang terdiri daripada doktor kesihatan akan memberi nasihat dan secara asasnya kita telah melepasi sasaran dari sudut mendapatkan dos penuh ini,” ujarnya

Beliau percaya vaksinasi jelas telah memberi impak positif walaupun demikian standard operasi prosedur (SOP) mesti dipatuhi sepanjang masa.

“Bagi tempoh ini difahamkan kita masih terkawal kerana ketahanan antibodi dari vaksin Sinovac dan Pfizer dapat melawan Delta ini.

“Menerusi pertambahan kes yang ada kini saya juga meminta pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberikan penerangan kepada orang awam melalui membuat infografik daripada kesannya,” katanya lagi.

Suara Sarawak