Kes rogol meningkat di Sarawak

KUCHING: Kes rogol di Sarawak meningkat tahun ini, dengan sebahagian besar kes berlaku angkara teman lelaki.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata daripada 67 kes yang direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun, 39 kes adalah melibatkan mangsa dengan teman lelaki.

“Selain teman lelaki, kebanyakan suspek adalah terdiri daripada orang yang dikenali mangsa seperti kenalan baru (15 kes), bapa kandung (5 kes) dan lain-lain lagi.

“Hanya satu kes melibatkan orang yang tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Lukas Aket di pejabatnya di Bangunan Baitul Makmur II, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata Sarawak juga merekodkan kes rogol kelima tertinggi di Malaysia.

Katanya kes tertinggi direkodkan di Selangor dengan 168 kes, diikuti Kedah (80 kes), Sabah (72 kes) dan Johor (69 kes).

Menjelas lanjut, beliau berkata dengan 67 kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding 59 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, 50 kes adalah mereka yang berumur antara 13 hingga 16 tahun, enam kes (0 hingga 12 tahun), lima kes (17 hingga 18 tahun), lima kes (19 hingga 25 tahun) dan satu kes (26 tahun ke atas).

“Malah 41 kes didapati mengandung dan 62 peratus melibatkan mangsa perempuan di bawah umur 16 tahun,” katanya.

Suara Sarawak