Kompleks Kebajikan Dalat siap

DALAT: Penduduk Dalat kini memiliki kemudahan baharu, yang lebih selesa dengan siapnya Kompleks Kebajikan Dalat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang juga Adun Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia merupakan kompleks kebajikan kedua di Sarawak selepas kompleks yang pertama di Sri Aman.

Beliau bangga kerana kompleks itu bakal membantu penduduk Dalat dan sekitarnya dalam hal berkaitan kebajikan.

“Kompleks ini memiliki keunikannya yang tersendiri kerana ia mampu mewujudkan interaksi erat antara dua generasi iaitu warga emas dan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Kunci daripada Jabatan Kerja Raya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini semalam.

Kompleks ini mempunyai pelbagai fungsi, antaranya Pejabat Kebajikan Dalat, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi Pusat Rehabilitasi dalam Komuniti, Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) dan taska orang kelainan upaya (OKU) termasuk kemudahan asas lain seperti tandas dan tempat rehat.

“Bangunan ini menjadi kompleks interaksi sosial antara generasi yang berbeza. Ini sejajar dengan objektif kita untuk mengintegrasikan semua generasi.

“Seterusnya menggalakkan pergaulan antara mereka yang secara tidak langsung melahirkan masyarakat penyayang, prihatin dan saling menghormati.

“Sebagai contoh, kanak-kanak mendalami perasaan empati dan lebih menghormati warga emas ketika kedua-duanya berinteraksi,” ujarnya lagi.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana yang memberi kemudahan kepada golongan yang memerlukan di Dalat.

Fatimah yakin kompleks ini akan mengubah Dalat sebagai sebuah daerah kecil yang serba lengkap khasnya melibatkan aspek kebajikan masyarakat.

Beliau turut menyerahkan bantuan kepada penerima untuk Dana Endowment Sarawak (EFS) dan bantuan ibu bersalin, serta penyerahan bantuan sebanyak RM100,000 kepada Pusat Pemulihan Berasaskan Masyarakat Dalat.

Tadika Dalat dan Tabika Kemas Kampung Baru Dalat juga masing-masing menerima geran tahunan khas sebanyak RM5,000.

Fatimah juga menyampai Kad Emas Kenyalang (KGC) kepada enam penerima, sijil kelahiran daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan kad orang kurang upaya (PoD).

Suara Sarawak