Konvoi sambutan ambang kemerdekaan tidak dibenarkan – Aidi

KUCHING: Polis menasihatkan orang ramai khasnya kelab atau kumpulan permotoran untuk tidak menganjurkan sebarang aktiviti berkonvoi sempena sambutan ambang kemerdekaan seperti kebiasaan dilakukan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, ia memandangkan pandemik Covid-19 masih menular di negeri ini.

“Justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak melaksanakan sebarang sambutan, perarakan atau berkonvoi sepanjang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya terutama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melaksanakan Op Khas Ambang Merdeka 2021 bermula Sabtu lalu sehingga 1 September ini.

“Operasi ini dilaksanakan secara penguatkuasaan menyeluruh dan melibatkan semua daerah di Sarawak dengan tumpuan ke atas pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan yang boleh menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

Tambah Aidi, pihaknya juga akan mengadakan operasi bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan dalam peraturan dan pematuhan kepada SOP Op Covid-19.

Suara Sarawak