Lelaki dicekup miliki dadah

BAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki berlegar di Kilometer Batu 18 Jalan Bau-Siniawan terbongkar selepas didapati menyandang beg berisi dadah, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintenden Poge Nyaon, suspek, 22, ditahan sebelum diperiksa oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau sekitar jam 11.45 pagi di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan awal di dalam beg pinggang berwarna hitam yang disandang suspek ketika ditahan menemui sepeket kecil plastik lut sinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram.

“Suspek bersama barangan kes seterusnya ditahan dan dibawa ke IPD Bau untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan saringan awal air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Susulan itu jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Poge menegaskan bahawa pihak polis akan sentiasa membuat pemeriksaan bagi memastikan mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah khususnya di kawasan Bau dapat ditangkap.

Selain itu ujarnya ibu bapa juga harus memainkam peranan dengan memerhati tingkah laku anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti pengambilan dadah berbahaya.

Suara Sarawak