Lelaki miliki ganja dipenjara tiga bulan

KUCHING: Seorang lelaki berusia 31 tahun dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2,500 atas kesalahan memiliki dadah jenis ganja seberat 2.27 gram pada Januari lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Abang Mazidi Abang Abidin, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Menurut fakta kes, sepasukan anggota polis yang diketuai Inspektor Bakery Mering menahan tertuduh semasa membuat serbuan di Jalan Bampflyde sekitar 3.50 petang pada 6 Januari lalu.

“Pihak polis menjalankan pemeriksaan badan ke atas tertuduh namun tidak menjumpai apa-apa barang salah.

“Namun begitu, pemeriksaan lanjut menjumpai satu peket plastik lut sinar berisi daun kering yang disyaki dadah jenis ganja diselitkan dalam pelapik topi keledar berwarna hitam milik tertuduh,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh membawa denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Suara Sarawak