Lelaki rompak restoran makanan laut dipenjara dua minggu

KUCHING: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan mencuri makanan, minuman dan dan telefon bimbit di sebuah restoran makanan laut di Jalan Stampin pada 16 Mei lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tertuduh Tay Choon Nguan dikenakan denda RM3,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan, Choon Nguan bersama-sama rakannya, Indraniker Sasus, 31, didakwa mencuri dua buah telefon pintar jenama Redmi, lima tin bir, satu botol air mineral dan empat tin makanan segera.

Menurut fakta kes, perbuatan mencuri tersebut dilakukan pada 16 Mei lalu, sekitar jam 10.43 malam.

Namun dua hari selepas kejadian, pekerja restoran yang membuka kedai menyedari beberapa barangan di premis tersebut hilang.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh dan rakannya masuk ke restoran dan mencuri barangan tersebut.

Nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM550.

Sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh merayu agar hukuman penjara dan denda dikurangkan atas alasan dia mempunyai dua orang anak dan seorang ibu untuk ditanggung.

Sementara, tertuduh Indraniker yang terlibat sama dalam kes berkenaan turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh ditangkap (23 Mei) dan tiada denda dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh berasal dari Engkilili itu tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak