Lelaki ugut jiran dengan parang ditahan

MIRI: Polis menahan seorang lelaki kerana mengugut jirannya dengan parang, dalam kejadian yang dilaporkan tadi di Lutong.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari berkata suspek berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.35 petang susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

“Dalam kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari, suspek dikatakan menghampiri pagar depan rumah jirannya dan mula menjerit.

“Bimbang akan keselamatan keluarganya, mangsa berusia 24 tahun yang juga seorang suri rumah dan suaminya tidak berani keluar dari rumah.

“Suspek juga dilihat melempar tong sampah ke arah pagar rumah jirannya dan merosakkan cermin belakang kereta serta lampu pagar,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas parang sepanjang 43 sentimeter yang digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya tidak diketahui sebab dan punca yang menyebabkan suspek bertindak sedemikian.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak