LIGA PREMIER 2021: Karektor pemain muda mengagumkan

KUCHING: Penolong Jurulatih Sarawak United (SU FC), Safri Amit kagum dengan aksi diperaga pemain muda, Azman Chuchu ketika menentang Perak FC II hujung minggu lalu.

Katanya, pemain sayap kanan itu menunjukkan peningkatan yang amat ketara.

“Dia berjaya mengadaptasi dengan sebaiknya peluang tersebut, dan lebih membanggakan sentuhan pada perlawanan tersebut berjaya membuka ruang kepada rakannya (Abdul Rahim Abdul Razak) untuk menjaringkan gol,” katanya kepada Arena Suara Sarawak, hari ini.

Safri menambah beliau melihat bintang kelahiran Kampung Luagan Sundar Lawas itu semakin yakin semasa latihan, sekaligus memberi peluang kepadanya beraksi pada perlawanan tersebut sebagai pemain gantian.

Justeru, beliau percaya Azman mampu untuk menempatkan diri dalam barisan utama pada perlawanan mendatang.

“Saya harap dia dapat mengekalkan momentum terbaik yang ada sekarang dan tidak mustahil mampu menempatkan diri dalam barisan kesebelasan utama,” katanya.

Suara Sarawak