Mayat lelaki warga India dijumpai terapung di Sungai Baram

MARUDI: Seorang lelaki warga India yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai Ahad lalu dijumpai lemas oleh pasukan penyelamat di Sungai Baram, hari ini.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Rajan Ranjesh,  29, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 9.30 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga dilakukan dengan kaedah memancing mangsa menggunakan duri rotan serta mengocak air menggunakan enjin 60 kuasa kuda.

“Pencarian juga dilakukan di permukaan air lokasi mangsa dikatakan terjatuh menghala ke hilir sungai Baram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada awal pagi Ahad, mangsa dilaporkan  terjatuh ke dalam sungai di dermaga komersial Marudi, berhampiran kapal tempatnya bekerja.

“Menurut rakan mangsa yang juga saksi kejadian, mangsa disedari jatuh ke dalam sungai semasa membuang air,” katanya.

Suara Sarawak