MBKS keluarkan sijil kepada para peniaga yang lengkap dua dos vaksin Covid-19

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan mengeluarkan sebuah sijil untuk penjaga dan peniaga di pasar-pasar di bawah pentadbiran MBKS yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata pengeluaran sijil oleh MBKS itu bertujuan untuk melindungi para penjaja serta peniaga dan menandakan kawasan tersebut adalah selamat untuk orang ramai.

Kata Hong Seng, selain penjaja dan peniaga, pembantu mereka juga harus melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 untuk layak diberikan sijil tersebut.

“Jawatankuasa Khas MBKS pada Isnin lalu telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara ini dan mereka telah mempersetujui cadangan tersebut

“Pengeluaran sijil ini akan berkuatkuasa mulai 1 September nanti dan diberikan kepada penjaja dan peniaga untuk ditampal di premis mereka,” ujarnya ketika ditemui pemberita semasa proram vaksinasi bergerak Covid-19 di gelanggang bola keranjang Sungai Apong, di sini hari ini.

Hong Seng mengulas lanjut, selain pasar, MBKS akan memperkenalkan cadangan tersebut kepada premis perniagaan seperti kedai runcit, kedai kopi, bistro mahupun pusat beli-belah di bawah pentadbiran MBKS.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menulis surat kepada pemilik premis untuk mendapatkan persetujuan mereka terutamanya bagi pusat beli-belah.

“Kami di MBKS amat menggalakkan premis perniagaan swasta untuk memastikan kakitangan mereka melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

“Seandainya mereka bersetuju cadangan tersebut, kita akan mengeluarkan sijil untuk mereka namun ia bergantung kepada pihak pengurusan premis perniagaan,” jelasnya.

Suara Sarawak