Media harus bertanggungjawab dengan laporan

BINTULU: Setiap wartawan  harus mempunyai prinsip untuk menghasilkan laporan dan berita yang adil.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata prinsip tersebut termasuklah menulis berdasarkan fakta, tidak menyakiti hati sesiapa dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Menurut beliau, tugas wartawan pada hari ini bukan sekadar melapor tetapi harus sentiasa mengimbangi antara yang baik dengan yang buruk tanpa meninggalkan fakta.

Beliau berkata demikian pada program santai bersama ahli Kelab Pengamal Media Bumiputera Bintulu (KPMBB) di salah sebuah hotel terkenal, di sini, semalam.

Talib yang juga Adun Jepak berkata, tidak menjadi masalah untuk wartawan melaporkan apa yang berlaku tetapi olahan ayat perlulah dibuat dengan betul agar seseuatu keadaan yang dianggap keterlaluan tidak menjadi lebih buruk.

Pada masa sama, beliau memberikan sokongan penuh terhadap penubuhan kelab tersebut sekali gus berharap penubuhannya   terus menjadikan persatuan ini sebagai platform untuk menyatukan para pengamal media yang datang  dari pelbagai latar belakang dan agensi di samping menjaga kebajikan para ahli yang berdaftar.

 

Suara Sarawak