Muhyiddin masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Katanya perkara itu juga telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, ketika menghadap baginda pada jam 11 pagi hari ini.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan khas bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata telah menerima warkah daripada Agong yang memaklumkan terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepadanya.

Katanya di dalam warkah itu, Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata peruntukan pertama ialah Perkara 43 (2) (a) iaitu “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

Manakala peruntukan kedua adalah Perkara 43 (4) iaitu “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Sehubungan itu, beliau berkata telah dititah menghadap oleh Agong pada jam 11 pagi hari ini.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak