Muhyiddin tentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen

KUCHING: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Katanya perkara itu telah disembah maklum dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ketika menghadap baginda pada jam 11 pagi hari ini.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam perutusan khas bagi menjelaskan kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional dan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata jemaah menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para petugas barisan hadapan agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak