Paralimpik Tokyo 2020: Pemburuan pingat emas Bonnie bermula esok

KUCHING: Jaguh angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin akan turun ke gelanggang pagi esok (Sabtu).

Ia adalah permulaan pemburuan pingat emas buat pemegang rekod dunia itu bagi kategori kegemarannya 72 kilogram dan kebawah.

“Saya sudah bersedia untuk berentap dan akan berusaha memberikan yang terbaik sepanjang saingan nanti,” ujar Bonnie kepada Arena Suara Sarawak.

Mengikut jadual acara Bonnie Bunyau akan bermula pukul 10 pagi.

Gustin Jenang iaitu bapa kepada badang negara itu tetap mendoakan agar anaknya beroleh kejayaan.

“Dua hari lepas Bonnie ada menghubungi saya, dan dia amat mengharap segalanya berjalan lancar,” ujar Gustin.

Menurut Gustin, beliau mengingatkan kepada anaknya itu agar kekal fokus sepanjang saingan selain sentiasa bersemangat.

Tegas legenda angkat berat para Sarawak itu, beliau amat yakin anaknya mampu melakukan angkatan terbaik dalam acara kegemarannya itu.

“Walaupun diketahui bakal berdepan pencabar dari negara lain, namun saya percaya Bonnie mampu mengatasi tekanan tersebut,” tegasnya.

Seorang lagi jaguh angkat berat para negara kelahiran Sarawak, Jong Yee Khie untuk kategori 107 kilogram kebawah akan turun beraksi pada 30 Ogos ini.

Suara Sarawak