Pekebun sayur maut van langgar belakang lori

MIRI: Pekebun sayur maut selepas van dipandunya melanggar belakang sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan berhadapan Depot Tahanan Imigresen Bekenu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendent Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 69 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh lori terbabit mengalami kerosakan dan diletakkan di tepi jalan di Kilometer 39, Jalan Persisiran Pantai di sini.

“Mangsa yang tersepit di bahagian pemandu dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian dada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Manakala, Alexson berkata pemandu lori terbabit yang berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 2021.

Suara Sarawak