Pelantikan semula sebagai Menteri Kerja Raya amanah besar, kata Fadillah.

KUCHING: Pelantikan semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya adalah amanah dan tanggungjawab besar demi rakyat serta negara, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, beliau sedar dan insaf rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu tersebut ketika negara sedang bergelut dengan penularan pandemik Covid-19 serta keadaan ekonomi yang sangat mencabar.

“Seperti yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kabinet ini adalah pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama-sama rakyat, yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.

“Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara demi kelangsungan ekonomi serta kehidupan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyeru semua ahli politik tanpa mengira parti dan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan membantu menjayakan usaha tersebut.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak