Penganggur ditahan positif, miliki dadah

PADAWAN: Seorang penganggur ditahan selepas diserbu di rumahnya di Jalan Mambong, di sini kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata lelaki berusia 22 tahun itu dicekup dalam serbuan yang dijalankan olej pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, kira-kira jam 11.40 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menjumpai dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 5.23 gram yang dianggarkan bernilai RM550 di dalam beg silang yang diletakkan di atas tilam di bilik tidur suspek.

“Suspek yang terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sejak tujuh bulan lepas mengaku dadah tersebut adalah kepunyaannya, yang diperolehi daripada seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaw Shyong menambah suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan juga didapati positif Methamphetamine.

Beliau berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya usaha mendapatkan maklumat lanjut daripada suspek bagi mengesan sumber bekalan dadah juga sedang dibuat.

Suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

 

Dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek.

Suara Sarawak