Penggiat seni Malaysia disarankan hasilkan karya hargai barisan hadapan

KUCHING: Penggiat seni kreatif Malaysia perlu menghasilkan karya yang berkualiti dan padat dari segi aspek nilai kemanusiaan sekali gus mampu memberikan semangat kepada masyarakat untuk tidak mudah mengalah dalam menghadapi cabaran sepanjang tempoh Pandemik Covid-19.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam (UKAS), Abdullah Saidol berkata, menghasil karya yang berkualiti menjadikan pengiat seni kreatif sebagai petugas barisan hadapan dengan menghidangkan karya yang mampu mengukir senyuman serta ketawa di wajah masyarakat di negara ini.

“Melalui keadaan semasa yang dihadapi oleh masyarakat kita ketika ini di samping pengorbanan dan kesungguhan barisan hadapan serta para sukarelawan sebenarnya banyak kisah yang boleh diceritakan, dikaryakan atau dipersembahkan oleh penggiat seni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Program Pelaksana Dana Kandungan Digital (DKD) antara Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan Sarawak Media Group Sdn Bhd (SMG) secara dalam talian, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam apa jua inisiatif untuk memajukan pelbagai aspek industri kreatif dan peranan media.

“Kesungguhan Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan industri kreatif dan seni boleh dilihat melalui peranan Majlis Seni Sarawak yang akan melancarkan MySeni pada masa yang akan datang,” katanya lagi.

Suara Sarawak