Penjawat awam perlu sentiasa ‘neutral’, setia kepada kerajaan

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Negeri Sarawak mengingatkan semua penjawat awam supaya tidak terlibat dengan polemik politik semasa.

Pengerusinya Omar Bahrein Unin berkata, penjawat awam khususnya di negeri ini perlu sentiasa berpegang kepada prinsip ‘neutral’ tanpa memihak dan tidak berpolitik.

“Kesetiaan penjawat awam adalah kepada raja, negara dan kerajaan.

“Tidak kira apa juga pangkat atau kedudukan, seorang penjawat awam mesti memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tegasnya, perubahan landskap politik semasa tidak sewajarnya mempengaruhi perjalanan penyampaian sistem perkhidmatan awam.

Menjelas mengenai lantikan Perdana Menteri baharu, Omar berkata pihaknya yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Istana Negara.

“Cuepacs akan terus menyokong pimpinan yang dipilih dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatan kerana penjawat awam sentiasa akan berkhidmat kepada kerajaan semasa,” ujarnya.

Suara Sarawak